Isnin, 24 September 2007

Masyarakat prihatin elak kes sadis Nurin berulang


KERANA terlalu sayang kepada anak mereka, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman mulanya tidak sanggup menerima hakikat bahawa mayat kanak-kanak yang dijumpai dalam beg sukan Isnin lalu adalah Nurin Jazlin, 8, yang hilang sejak sebulan lalu. Kelmarin polis mengesahkan bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya Utama itu adalah Nurin Jazlin. Ujian darah mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak. DNA adalah ujian saintifik yang boleh membuktikan pertalian biologikal dan tidak sepatutnya dipertikaikan. Dalam menghadapi peristiwa yang tragis ini, kita memahami perasaan pasangan suami isteri itu. Hati siapa yang tidak terguris melihat apa yang terjadi kepada keluarga Jazimin terutama ke atas Nurin Jazlin yang tidak berdosa itu. Sebagai insan biasa, tentu sukar bagi Jazimin dan Norazian menerima hakikat bahawa anak kedua mereka itu sudah tiada lagi. Alhamdulillah, mereka akhirnya menerima ketentuan Ilahi dan menuntut mayat Nurin Jazlin untuk dikebumikan selepas solat Jumaat semalam.

Kejadian ini, sama seperti beberapa kes lain yang membabitkan kehilangan kanak-kanak berlaku akibat kelalaian ibu bapa yang mungkin sibuk dengan urusan lain ataupun kerana terlalu percayakan orang lain sama ada jiran atau masyarakat sekeliling. Hakikatnya kanak-kanak seusia Nurin Jazlin masih kecil dan terlalu muda untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah. Pada usia berkenaan dia masih perlu ditemani ketika ke pasar malam, walaupun tempat itu berhampiran rumahnya. Apa yang berlaku ke atas Nurin Jazlin mahupun Nurul Huda Abdul Ghani, 10, yang dirogol dan dibunuh oleh pengawal keselamatan pada 2004 sungguh menyayat perasaan. Walaupun Nurin Jazlin tidak dirogol tapi bedah siasat mendapati ada kesan gangguan seksual oleh pembunuhnya. Rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ia mungkin antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu. Mayatnya ditemui dalam keadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya ketika membuat pengecaman.

Perangkaan polis menunjukkan bagi tempoh Januari hingga April lalu, 303 kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 176 ditemui semula. Sepanjang tahun lalu pula, 1,485 kes kehilangan dilaporkan dengan 900 kanak-kanak berjaya ditemui semula, manakala pada 2005, daripada 1,803 kes dilaporkan, 1,254 daripadanya ditemui semula. Persoalannya di mana baki kanak-kanak yang belum ditemui? Kita tentu masih ingat kisah Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, yang menggemparkan negara apabila dilaporkan hilang selama 15 hari mulai 31 Mac lalu sebelum dipulangkan oleh pasangan Myanmar. Ibu bapa Yin bernasib baik kerana anak mereka selamat selepas berita kehilangannya mendapat publisiti meluas dalam media massa dan ia menarik perhatian masyarakat, malah syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan turut terbabit dalam gerakan mencari budak itu. Begitu juga dengan kes Nurin Jazlin ini. Ramai yang sebak dan menangis apabila mayat budak perempuan yang ditemui baru-baru ini dikenal pasti sebagai Nurin Jazlin. Begitulah sikap masyarakat kita, apabila digemparkan dengan satu peristiwa yang menyayat hati seperti itu, sikap mereka pun berubah. Rata-rata timbul perasaan marah dan prihatin, tetapi selepas ini segala-galanya akan sejuk semula dan kehidupan kembali rutin seperti biasa.

Berita Harian 22 September 2007